CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 3, 2008

Ketaqwaan Dalam Perkahwinan

Setiap tindak-laku yang kita lakukan pasti mempunyai tujuan dan matlamat yang tertentu. Baik perkara itu berupa amal perbuatan, ibadah, pekerjaan, pemikiran atau percakapan. Begitu juga dengan tujuan dan matlamat hidup kita, pasti ada tujuan dan matlamatnya.

Sebagai orang-orang yang beriman, hakikat hidup kita di muka bumi ini adalah semata-mata untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah di surah Ad-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud:

"Dan tidaklah Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Ku."

Matlamat dan tujuan manusia itu diciptakan oleh Allah s.w.t adalah semata-mata agar mereka mengabdikan diri kepadaNya, pengabdian berbentuk mematuhi apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Inilah hakikat hidup yang sebenar dan hakikat hidup inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi alam yang fana' ini.

Begitu juga hakikat dan tujuan apabila seseorang itu mendirikan rumah tangga. Di dalam Islam, perkahwinan merupakan satu hadiah dan pemberian dari Allah. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Araf ayat 189:

"Dialah Yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan dari diri tersebut Allah menciptakan isteri baginya agar ia merasa senang kepadanya."

Bagaimana cara kita melangsungkan majlis perkahwinan kita ini akan menentukan cara bagaimana kita akan memulakan hidup berumahtangga kita kelak. Justeru itu, berusahalah memulakan perkahwinan anda atau perkahwinan anak anda dengan cara yang baik.

Kita haruslah berhati-hati bila melangsungkan perkahwinan kita sendiri atau anak-anak kita. Jauhkanlah dari perbuatan-perbuatan yang berunsur khurafat atau yang keterlaluan.

Islam tidak melarang umatnya untuk mengadakan dan meraikan majlis-majlis yang seumpana ini, malahan kita digalakkan untuk meraikannya. Tetapi jika kita lihat keadaan masyarakat kita beberapa tahun kebelakangan ini, kita akan dapati banyak lagi di kalangan mereka yang masih jahil akan tujuan dan matlamat pernikahan yang sebenar, lalu mereka mengadakan majlis secara besar-besaran dan di luar kemampuan, dengan menggalakkan percampuran lelaki dan perempuan, mengadakan majlis tari-menari dan persembahan muzik yang melampau batas Islam. Ini semua bertentangan dengan ajaran Islam. Adakah dengan keghairahan kita menyambut majlis perkahwinan, kita membelakangkan ajaran Islam? Dimanakah identiti kita sebagai seorang Muslim apabila kita mencampurkan majlis perkahwinan kita dengan perkara-perkara maksiat yang tidak sesuai dengan ajaran Islam?

Perkara terpenting dalam perkahwinan, yang rasanya diabaikan oleh kebanyakan umat Islam zaman sekarang ini, adalah keberkahan dari Allah s.w.t. Keberkahan inilah yang akan membantu mempelai tersebut membina mahligai yang bahagia dan utuh. Untuk mendapat keberkahan ini, kita mesti mengikut ajaran Islam.

Pertama: Asingkan tempat duduk lelaki dan wanita. Ini akan mengurangkan fitnah dan menghindarkan maksiat mata.

Kedua: Jauhkanlah dari perkara-perkara yang membazir yang tidak membawa faedah seperti perhiasan pelamin yang melampau batas. Allah s.w.t berfirman didalam surah Al-Isra, ayat 27:

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah kawan syaithan. Dan syaithan tersebut amat kufur terhadap Tuhan nya."

Ketiga: Pastikanlah bahawa mempelai menjaga batas aurat. Janganlah mempamerkan mempelai wanita kepada mereka yang bukan mahramnya, kerana ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Keempat: Bataskanlah lagu dan muzik yang diadakan sempena majlis perkahwinan tersebut kepada yang diharuskan oleh Islam sahaja. Muzik yang tidak dilarang oleh Islam adalah muzik yang tidak melalaikan dan tidak mengandungi perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.

Kelima: Tinggalkanlah perkara-perkara khurafat dalam perkahwinan, juga adat-adat yang berasal dari ugama Hindu seperti upacara tepung tawar dan renjis-merenjis.

Perkahwinan merupakan satu peringkat hidup yang penting sekali. Ia adalah sesuatu yang suci dan diberkati oleh Allah s.a.w kepada hamba-hambanya. Janganlah ia dicemari dengan perbuatan khurafat, pembaziran dan maksiat. Biarlah ia bermula dengan sesuatu yang suci dan murni semoga rumahtangga tersebut akan terus diberkati Allah s.w.t.

Cara untuk mencapai rumahtangga yang bahagia terletak di tangan anda. Sayugia diingatkan bahawa setiap kita merupakan saudara kepada yang lain. Justeru itu kita mempunyai tanggungjawab untuk membimbing satu sama lain ke jalan yang benar. Samada ini merupakan perkahwinan anda sendiri, perkahwinan anak-anak anda, adik beradik anda atau rakan anda, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menentukan bahawa mereka dibimbing dan disemai dengan nilai-nilai Islam yang betul supaya mereka akan memulakan perkahwinan mereka dengan baik, tanpa adanya perbuatan yang berdosa. Bimbinglah saudara-saudara kita ke jalan yang benar untuk mencapai kebahagian berumahtangga, insya Allah.

Baarakallah.....

0 comments: